Jalur lebar lepasi sasaran 50 peratus
PUTRAJAYA 28 Okt. - Kadar penembusan jalur lebar mengikut isi rumah telah melepasi sasaran 50 peratus seperti yang ditetapkan pada hujung tahun ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, sehingga pertengahan Oktober, kadar penembusannya melepasi 53.5 peratus dan kerajaan optimis menjelang 2015 jumlahnya akan mencapai 75 peratus.
Pencapaian itu, kata beliau, adalah hasil kerjasama dan usaha pihak swasta dan kerajaan termasuk pucuk pimpinan yang menitikberatkan penembusan jalur lebar untuk semua golongan rakyat.
''Pelbagai inisiatif dan program telah dirancang dan giat dilaksanakan di bawah Inisiatif Jalur Lebar (NBI) bagi memperluaskan liputan ke seluruh negara dengan menggunakan pelbagai teknologi," kata.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Jalur Lebar di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Noor Mohamed Yakcop.
Muhyiddin berkata, sebanyak 3,100 projek Kampung WiFi akan dibangunkan sehingga 2014 di seluruh negara dan setakat ini enam projek perintis telah dilaksanakan
Selain itu, dalam usaha kerajaan merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar termasuk Sabah dan Sarawak, pengagihan satu juta komputer riba berserta pakej langganan jalur lebar telah mula diagihkan kepada pelajar serta golongan berpendapatan rendah di seluruh negara.
''Sejak Julai lepas lebih 100,000 komputer riba telah diagihkan manakala 300,000 lagi akan diberikan sebelum akhir tahun ini kepada mereka yang layak," katanya.
Bagi memastikan kadar penembusan jalur lebar terus meningkat, Program Kesedaran dan Promosi Jalur Lebar kepada semua lapisan masyarakat secara intensif akan terus dilaksanakan sehingga akhir tahun ini.
Pada masa sama, Briged Bertindak Jalur Lebar di Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan akan terus memainkan peranan dalam mengatasi sebarang isu berkaitan perkhidmatan jalur lebar.
Sejajar dengan usaha meningkatkan kualiti hidup semua lapisan masyarakat, Muhyiddin berkata, Jawatankuasa Kabinet turut bersetuju mewujudkan satu eko-sistem dinamik dan menyeluruh yang mampu menjana skala ekonomi dan perluasan pasaran diterokai dengan lebih terperinci.
Ini termasuk mengiktiraf Rangkaian Sensor Tanpa Wayar (WSN) sebagai sumber pertumbuhan baru yang mampu menjana aktiviti ekonomi dalam beberapa sektor seperti pertanian, elektronik, elektrik dan pengangkutan.
Jawatankuasa tersebut, kata beliau, turut memantau Kandungan Komunikasi dan Infrastruktur (CCI) dari penjanaan kandungan kepada rangkaian, perkhidmatan dan peralatan.
''Sebanyak 10 projek permulaan (EPP) telah dikenalpasti untuk mengembangkan ekonomi di bawah CCI yang bakal menjana pendapatan lebih 43,000 pekerjaan dan menyumbang lebih RM49.83 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (GNI).
''Kerajaan yakin sektor ini boleh berfungsi untuk mengubah cara hidup rakyat daripada pelbagai segi termasuk dalam urusan perniagaan, pembelajaran, pekerjaan, hiburan, perbankan dan membeli belah," katanya.
Menurutnya, setakat suku kedua 2010, pelanggan telefon selular telah melebihi 31 juta atau 108 peratus penembusan sekali gus menjadikannya penyumbang terbesar melebihi 60 peratus kepada jumlah keseluruhan pendapatan industri komunikasi dan multimedia di negara ini.

